ya ALLAH ya TUHANKU


Tuesday, August 07, 2012

kEM bara MENGGAPAI iMPIAN


BISMILLAHIRAHMANIRAHIM
Pendakian menuju ke puncak gunung tidak banyak bezanya dengan perjalanan kita di dalam kehidupan terutamanya dalam menggapai impian. Sebelum pengembaraan bermula, kita telah pun menetapkan matlamat untuk menawan puncak gunung tersebut walau apa cara sekalipun. Namun begitu, setiap orang mempunyai matlamat berbeza.
Ada yang ingin sampai ke puncak untuk menyaksikan keindahan matahari terbit, ada yang ingin merakamkan keindahan puncak gunung sambil berposing, ada yang sekadar menambah jumlah gunung yang telah berjaya ditawan. Ada juga yang ingin membuat kajian tentang flora dan fauna yang wujud di situ, malah ada tidak kurang yang ingin merasai pengalaman berada di puncak gunung dan seterusnya boleh menceritakan pengalaman kesukaran dalam pendakian dan juga kebahagiaan apabila berjaya menawan puncak gunung tersebut.
Cuba kita kaitkan dengan matlamat kita dalam menggapai kejayaan. Semua orang menetapkan matlamat masing-masing. Namun matlamat setiap orang untuk berjaya adalah berbeza bagi setiap individu. Ada yang mengejar kejayaan semata-mata untuk menjadi kebanggaan keluarga dan masyarakat, ada yang ingin menjadi terkenal dan disanjung tinggi, ada yang ingin membuktikan diri sehebat dan setaraf dengan orang lain, ada juga yang ingin menjadi contoh tauladan dan inspirasi bagi orang lain supaya berusaha untuk menggapai impian seterusnya berjaya seperti dirinya.
Di sinilah kita dapat lihat betapa pentingnya matlamat dalam sesuatu tindakan kita. Alangkah ruginya kita seandainya matlamat yang kita tetapkan itu hanyalah semata-mata untuk kemegahan seterusnya mengundang kemurkaan Allah. Malah lebih rugi sekiranya kita tidak meletakkan sebarang matlamat dalam setiap tindakan kita kerana apa yang kita lakukan tanpa matlamat adalah sia-sia dan tiada nikmat kejayaan untuk kita raikan!
Seterusnya, pendakian bermula. Namun, terdapat banyak jalan atau kaedah yang dapat kita pilih untuk memastikan kita berjaya sampai ke puncak gunung bagi mencapai matlamat yang telah kita tetapkan. Antaranya dengan mendaki selangkah demi selangkah atau cara yang paling mudah dengan menaiki helicopter.
Jika kita guna kaedah mendaki dengan segala kudrat kita sendiri, terdapat lebih banyak cabaran dan juga pilihan. Kita akan berhadapan dengan banyak persimpangan jalan yang memerlukan kita membuat keputusan untuk memilih jalan mana yang terbaik untuk dilalui. Dalam masa yang sama, kita akan berhadapan dengan makhluk-makhluk lain seperti pokok-pokok, pendaki-pendaki lain, serangga dan lain-lain. Kita juga dapat berjumpa dengan insan-insan lain yang tidak berjaya sampai ke puncak, bersandar di batang pokok dan berputus asa.
Semua itu menjadikan kita lebih bersemangat untuk meneruskan pendakian kerana kita tidak mahu menjadi seperti mereka. Malah kita mungkin akan berhenti sekejap untuk memberikan dia sedikit semangat untuk meneruskan langkah ke puncak. Sekiranya kita terjatuh, ada insan lain yang akan menghulurkan tangan untuk membantu kita bangkit semula. Paling malang pun, kita masih boleh berpaut pada akar pokok untuk membantu kita bangkit seterusnya meneruskan pendakian.
Namun, kita tidak akan berpeluang untuk mengenali erti penat lelah, kesusahan dan juga rasa menghargai makhluk lain yang wujud selain kita sekiranya jalan yang kita pilih untuk sampai ke puncak adalah dengan menggunakan helicopter. Kita tidak nampak kesusahan mereka untuk mereka bentuk sebuah helicopter. Kita hanya tahu menggunakan helicopter tersebut demi menawan puncak gunung dengan mudah. Dan yang paling malang, sekiranya helicopter tersebut terhempas, tiada lagi harapan untuk kita bergantung apatah lagi harapan untuk sampai ke puncak!
petikan daripada i luv islam
moga dapat dijadikan teladan kepada semua pembaca....