KEMBARA


Puisi kecil 2: Dedikasi buat para pengembara kehidupan


Kembara kali ini,
ku kira agak panjang,
beribu liku.

Laluan kali ini,
benar-benar kelam,
batuan keras jelas mencengkam,
duri tajam betul menikam,
Luka jelas menggenggam.

Ku leka,
terus dibuai kicauan alam,
tidak sekali kusedar,
kaki yang penuh debuan pasir,
sedang menapak di bumi yang asing,
suara yang pernah menyinggah,
kian menghilang,
hanya bunyi angin kedengaran,
menumpang butir-butir debu
berterbangan,
sunyi dan sepi.

Ku terdiam,
ku mengorak langkah tanpa tujuan,
episode indah seperti hilang makna,
destinasi asal seperti bayangan mimpi,
pandangan makin kelam dan gelap.

Ku tunduk,
air jernih mula gugur,
halus dan lurus,
membasah bumi,
serentak dan hilang kemudian,
emosi yang menerpa,
jelas menggesa air mata menyapa,
dan dalam sepi,
sejuta persoalan menapak
lalu fikiran mula bertuhankan rasa.

Ku alpa,
dalam sibuk mencari jalan keluar,
cahaya yang hadir bertalu,
ku abaikan,
padahal ia ada bertebaran,
beri sinar pada jiwa-jiwa yang luka,
Aku manusia yang lupa,
yang bersalah.

Ku tersedar,
ketika mentari pagi
mula menebarkan sinar,
cahaya yang muncul
di celahan rimbunan pohon,
begitu tepat menembus halus,
pada wajah yang dingin,
hangat menyeka air mata yang bersisa.
Cahaya seakan menyatakan harapan,
Teduhan pohon bagai memeluk jiwa,
bertanyakan khabar,
langit seolah mengajakku mencuba.

Dan aku,
mula bergerak perlahan,
dan terkadang tangkas,
meski dada penuh debar,
kaki berdarah luka,
dan aku berjalan lagi,
Ku teruskan perjalanan kali ini,
bersama teduhan kasih dari Tuhan,
Nikmat yang baru kusedar.

Kembara kali ini,
benar-benar panjang,
ku berani untuk melangkah jauh,
tanpa ragu
tanpa gusar
kerana kusedar,
Aku punya Tuhan,
yang setia memberi jalan
untuk kuteruskan kembaraku
buat kali yang kedua.

N. M. H. N

Comments

Popular posts from this blog

Bangun saat kau Rebah dan tak mampu berdiri

Ujian itu Hadiah daripada Allah! Setiap ujian ada hikmah di sebaliknya ^^

cara kak nik nur madihah belajar !

KELEBIHAN SURAH AS SAJDAH